Pitas, 14 November 2024 – YB Dato’ Sri (Dr) Ruddy Awah telah merasmikan Kejohanan Sukan PIBG Sekolah Rendah Peringkat Daerah Pitas, sebuah acara yang julung kali diadakan khusus untuk daerah ini dan merupakan yang pertama seumpamanya di Negeri Sabah.
Kejohanan ini dianjurkan oleh Persatuan Guru Besar Malaysia (PGM) Sabah Daerah Pitas dan dipengerusikan oleh Tuan Juri Bin Abd Suny. Sukan PIBG ini bertujuan untuk memperkukuhkan silaturahim dan semangat perpaduan antara Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di kawasan N3 dan N2 Pitas.
Dalam ucapannya, YB Dato’ Sri (Dr) Ruddy Awah menyatakan harapannya agar sukan ini dapat diteruskan setiap tahun bagi membudayakan semangat kesukanan serta memperkukuhkan hubungan antara ibu bapa, guru, dan komuniti setempat.
Sebagai tanda sokongan dan motivasi kepada kejayaan program ini, beliau telah menyumbangkan RM5,000 kepada PGM Daerah Pitas serta RM500 kepada setiap PIBG yang akan menyertai acara perbarisan pada tahun akan datang.
Kejohanan ini mendapat sambutan hangat daripada komuniti setempat dan diharapkan akan menjadi acara tahunan yang lebih besar pada masa hadapan, melibatkan lebih banyak penyertaan dari sekolah-sekolah lain di daerah Pitas.
Sumber: Ruddy Awah – Facebook