Ruddy Awah Nafikan Tuduhan Rasuah dalam Video Tular di TikTok, Serahkan Urusan kepada PDRM

Pitas, 4 Disember 2024YB Dato’ Sri (Dr) Ruddy Awah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N3 Pitas, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengaitkan dirinya dalam satu skandal rasuah dan pecah amanah seperti yang dinyatakan dalam sebuah video tular di aplikasi TikTok.

Dalam satu kenyataan rasmi yang dimuat naik ke media sosial, beliau menyifatkan tuduhan tersebut sebagai fitnah dan komplot jahat yang bertujuan mencemarkan reputasi serta kredibilitinya sebagai pemimpin dalam Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan dan tohmahan jahat yang telah dibuat ke atas diri saya. Saya juga ingin menegaskan bahawa saya tidak pernah terlibat atau disiasat oleh pihak SPRM seperti yang dinyatakan dalam kandungan video tersebut,” katanya.

Baca Ini  JIM Sabah Ambil Tindakan Terhadap Pembocor Maklumat Operasi

Tindakan Undang-Undang Dijalankan

Berikutan penyebaran video tersebut, Ruddy Awah telah membuat laporan polis pada 3 Disember 2024 terhadap pemilik akaun TikTok yang memuat naik kandungan tersebut. Beliau juga telah menyerahkan kes ini kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti individu di sebalik penyebaran fitnah ini.

Beliau turut mengingatkan masyarakat khususnya warga Pitas agar tidak mudah menyebarkan berita tanpa kesahihan, terutama melalui media sosial, bagi mengelakkan penyebaran maklumat palsu yang boleh membawa kesan buruk kepada individu dan komuniti.

“Menyebarkan maklumat palsu adalah kesalahan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Jika didapati bersalah, boleh dikenakan denda tidak lebih RM50,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali,” tegasnya lagi.

Baca Ini  Politik Sabah: Antara Perpaduan dan Pergolakan Kuasa Oleh Musli Oli

Penghargaan kepada Pihak yang Membantu

Di akhir kenyataan beliau, Ruddy Awah merakamkan penghargaan kepada Puan Ramlah Binti Nasir, PPM N3 Pitas, kerana telah membuat laporan polis bagi menangkis fitnah tersebut. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada OKK Halim Kadir, Ketua Daerah Pitas, serta George Sibu, Pemaju Mukim N3 Pitas, atas sokongan mereka dalam menangani isu ini.

Beliau berharap siasatan PDRM akan segera membawa keadilan, dan meminta rakyat untuk menyebarkan berita yang sahih sahaja bagi mengelakkan perpecahan dalam masyarakat.

Sumber: Ruddy Awah – Facebook