KOTA KINABALU, 29 Julai – Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Pitas, Ramlah Nasir menyeru agar lebih ramai pemimpin wanita diberi peluang untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.
Menurut Ramlah, barisan wanita berani dan berwibawa perlu diketengahkan, termasuklah Ketua Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Redonah Bahanda yang dianggap antara tokoh terbaik mewakili suara akar umbi.
“Ini adalah usul utama yang kami kemukakan ketika perbahasan ucapan dasar Presiden pada Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat baru-baru ini,” jelasnya.
Sokongan Padu Kepada Hajiji & Ruddy
Dalam kenyataan sama, Ramlah turut menegaskan sokongan penuh Wanita Gagasan Rakyat terhadap kepimpinan Presiden parti, Datuk Seri Hajiji Noor yang berjaya membawa perubahan ketara dalam pentadbiran dan pembangunan ekonomi negeri.
Beliau berkata, inisiatif seperti peruntukan kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) dan penubuhan Akademi Kepimpinan Wanita Sabah (AKWAN) telah berjaya melahirkan ramai pemimpin wanita dari pelbagai latar belakang termasuk politik, belia dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Selain itu, Ramlah turut membawa usul agar ADUN Pitas, Datuk Seri Dr. Ruddy Awah dikekalkan sebagai calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN17, dengan alasan rekod prestasi beliau dalam memperjuangkan kebajikan rakyat sudah terbukti.
“Kita mahu kesinambungan kepimpinan yang telah dibuktikan oleh beliau di kawasan Pitas,” katanya.
Sumber: New Sabah News