AgroBank Meterai Perjanjian Penyewaan Premis di Pitas, Kemudahan Perbankan Bakal Direalisasikan

Pitas, 22 Februari 2025 – Penduduk Pitas bakal menikmati kemudahan perbankan yang lebih baik apabila AgroBank menandatangani perjanjian penyewaan premis di daerah ini. Perjanjian tersebut dimeterai pada Khamis lalu selepas lawatan wakil region negeri dan wakil teknikal ibu pejabat AgroBank pada 14 Februari.

Langkah ini merupakan satu pencapaian besar dalam usaha menyediakan perkhidmatan kewangan kepada masyarakat setempat, terutama bagi golongan usahawan, petani, dan peniaga kecil yang sebelum ini berdepan kesukaran mengakses perkhidmatan perbankan.

Perjanjian penyewaan premis ini turut disaksikan oleh Pegawai Daerah Pitas, wakil AgroBank, dan ADUN N3 Pitas, YB Ruddy Awah, yang sebelum ini giat memperjuangkan agar kemudahan perbankan dapat diperluaskan ke kawasan luar bandar seperti Pitas.

Baca Ini  Majlis Penyerahan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di Pitas

Menurut YB Ruddy Awah, perjanjian ini adalah hasil daripada perjuangan dan perbincangan yang telah berlangsung sejak beberapa tahun lalu. Beliau menyatakan harapan agar segala urusan berkaitan selepas ini akan dipermudahkan dan perkhidmatan AgroBank dapat beroperasi dalam tempoh terdekat.

Penduduk Pitas yang selama ini perlu ke Kota Marudu atau Kudat bagi mendapatkan perkhidmatan perbankan kini boleh menarik nafas lega dengan perkembangan ini. Pembukaan premis AgroBank di daerah ini dijangka akan memberi impak besar terhadap pembangunan ekonomi tempatan, terutama dalam penyediaan pinjaman mikro, pembiayaan pertanian, dan sokongan kepada peniaga kecil serta sektor koperasi.

Dengan termeterainya perjanjian ini, kini hanya tinggal beberapa proses teknikal dan operasi sebelum AgroBank dapat mula beroperasi di daerah Pitas. Perkembangan ini sekali lagi membuktikan bahawa usaha berterusan daripada semua pihak mampu membawa perubahan yang bermakna kepada masyarakat luar bandar.

Baca Ini  Program Jualan Madani Pertubuhan Peladang Kawasan Pitas Dilancarkan

Sumber: Facebook Ruddy Awah

scroll to top