Hajiji Tegur Warisan: “Jangan Heret Istana Dalam Permainan Politik”

KOTA KINABALU, 28 Mac 2025 – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, menegur keras tindakan Parti Warisan yang didakwa mengheret institusi Istana Negeri dalam polemik politik berkaitan sambutan Hari Jadi Rasmi Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.

Beliau merujuk kepada hantaran media sosial oleh dua pemimpin Warisan, Datuk Darell Leiking dan Datuk Mohd Azis Jamman, yang mempersoalkan penganjuran sambutan rasmi tersebut.

“Politik telah mengaburi penilaian mereka sehingga tidak dapat membezakan antara kerajaan, politik dan institusi Istana,” ujar Hajiji dalam kenyataan rasmi.

Tun Musa Aman Tidak Mahu Sambutan Besar

Menurut Hajiji, Tun Musa sendiri mencadangkan agar tidak diadakan sambutan besar-besaran kerana tarikh rasmi 30 Mac bertembung dengan Hari Raya Aidilfitri.

Baca Ini  Ruddy Awah Nafikan Tuduhan Rasuah dalam Video Tular di TikTok, Serahkan Urusan kepada PDRM

Namun, selepas dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet Negeri, kerajaan memutuskan untuk tetap mengadakan sambutan secara sederhana pada bulan Jun, selaras dengan konvensyen dan tradisi Istana, serta mengikut nasihat Tun Musa sendiri.

“Jumlah acara juga telah dikurangkan daripada 12 kepada hanya 7 tahun ini,” katanya, sambil menambah bahawa keputusan ini menjimatkan kira-kira 30% perbelanjaan berbanding tahun sebelumnya.

Warisan Diminta Bertanggungjawab

Hajiji turut menyindir Darell dan Azis yang menurutnya pernah berada dalam kerajaan dan sepatutnya maklum dengan prosedur sambutan Hari Jadi TYT.

“Institusi Istana bersifat apolitikal dan tidak sepatutnya diseret ke dalam politik jalanan penuh pembohongan dan penipuan Warisan,” tegasnya.


Dipetik dan dioleh dari sumber Sabah Media

scroll to top