Pitas, 22 Jun 2024 – Penduduk Kampung Mantus kini boleh menikmati akses internet setelah bertahun-tahun menunggu hasil usaha berterusan pihak berkuasa dalam membangunkan infrastruktur telekomunikasi di kawasan tersebut.
Dalam satu perkongsian di media sosial, YB Dato’ Sri (Dr) Ruddy Awah menyatakan bahawa beliau didatangi beberapa penduduk kampung yang mengucapkan terima kasih kerana impian mereka untuk mendapatkan akses internet di rumah kini menjadi kenyataan.
“Macam tidak percaya ada line di rumah kami, buli suda online, terima kasih YB,” ujar salah seorang penduduk yang kini boleh mengakses internet dari rumah sendiri.
Menurut YB Ruddy Awah, ketika beliau memegang jawatan sebagai Pembantu Menteri di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, beliau telah memohon agar kawasan Pitas diberikan keutamaan dalam pemasangan menara telekomunikasi.
Sebagai langkah sementara sebelum menara telekomunikasi dibina di Kg Mantus, pihak MCMC telah memasang VSAT pada tahun 2021 bagi membolehkan penduduk menikmati akses internet asas. Kini, dengan adanya menara telekomunikasi, capaian internet yang lebih baik dapat dinikmati oleh penduduk kampung.
Beliau menzahirkan rasa syukur kerana usaha ini akhirnya membuahkan hasil dan memberikan manfaat kepada penduduk setempat, terutamanya dalam era digital yang semakin maju.
“Berkat kesabaran semua, akhirnya impian untuk mengakses internet dari rumah kini menjadi kenyataan. Semoga Tuhan memberkati kita semua!” tambahnya.
Dengan peningkatan akses telekomunikasi ini, penduduk Kg Mantus kini boleh menikmati peluang yang lebih luas dalam pendidikan, perniagaan dalam talian, serta komunikasi yang lebih baik dengan dunia luar.
Sumber: Ruddy Awah – Facebook