Baitulmaqdis, 24 Februari 2025 – Tindakan seorang tahanan Israel, Omer Shem Tov, mencium kepala dua pejuang Hamas selepas dibebaskan dalam pertukaran tahanan di Nuseirat, Gaza, baru-baru ini, telah mengejutkan dunia.
Shem Tov merupakan antara tiga rakyat Israel yang diserahkan kepada Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) dalam pertukaran tahanan tersebut, bersama Omer Wenkert dan Eliya Cohen. Ketiga-tiga mereka dibawa keluar oleh pejuang Hamas dan dipertontonkan di atas pentas di bandar Nuseirat, di mana mereka melambai dan memegang sijil pembebasan sebelum diserahkan kepada pegawai ICRC.
Dalam rakaman video yang tular, Shem Tov dilihat mencium kepala dua pejuang Hamas sambil tersenyum dan melambai ke arah orang ramai. Menurut laporan The Times of Israel, bapanya, Malki Shem Tov, menyatakan bahawa anaknya kelihatan ceria semasa pembebasan, mencerminkan keperibadiannya yang positif.
“Dia (Shem Tov) kelihatan lebih kurus… tetapi dia tetap ceria, paling positif di dunia,” kata Malki. “Kami tidak tahu bagaimana rupanya selepas sekian lama dia dalam tahanan. Namun, apabila dia keluar dengan senyuman dan lambaian, ia benar-benar mengejutkan kami semua,” tambahnya.
Abangnya pula menyatakan bahawa Shem Tov sememangnya seorang yang sentiasa bersikap optimis. “Dia sentiasa positif, sepanjang masa. Bahkan di sana (dalam tahanan Hamas), mereka menyukainya juga,” katanya.
Menurut kenyataan Pasukan Pertahanan Israel (IDF), ketiga-tiga tahanan tersebut telah menghabiskan 505 hari dalam tahanan Hamas sebelum dibawa kembali ke Israel. Mereka kini menjalani pemeriksaan fizikal dan mental di fasiliti IDF bagi memastikan keadaan kesihatan mereka stabil selepas tempoh panjang dalam tahanan.
Insiden ini mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat antarabangsa, dengan ramai yang melihatnya sebagai satu simbol kemanusiaan di sebalik konflik yang berpanjangan antara Israel dan Palestin.
Sumber: Sinar Harian